fbpx

‘Nak balik rumah pun sangkut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan jalan tanah menuju ke Pos Balar dan Pos Belatim di Gua Musang mengalami becak teruk ekoran cuaca hujan sejak seminggu lalu. – IHSAN PENDUDUK

GUA MUSANG – Kira-kira 50 pelajar Orang Asli menempuh perjalanan lebih 15 jam untuk pulang ke rumah di Pos Balar dan Pos Belatim di sini, selepas jalan tanah rosak teruk ekoran hujan sejak seminggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Balar, Hanan Anjang berkata, situasi itu ditempuh pelajar Orang Asli setiap kali pulang ke pangkuan ke­luarga sempena cuti sekolah pada musim hujan.

Katanya, pelajar menaiki tujuh buah trak pikap menempuh jalan berlumpur sehingga menyebabkan kenderaan mereka tersangkut beberapa kali.

“Saya difahamkan kumpulan pelajar itu bertolak dari Kuala Betis pukul 1 tengah hari, Khamis lalu dan tiba di Pos Balar pada pukul 3 pagi semalam (kelmarin).

“Ada bapa yang menunggang motosikal menunggu anak mereka di Kampung Peng, Pos Balar dan Kampung Chemal, Pos Belatim,” katanya.

Hanan berkata, penduduk Orang Asli bergotong-royong membaiki sendiri jalan itu agar ia boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

“Hujan berlarutan sejak se­minggu lalu menyebabkan jalan rosak teruk. Penduduk juga tidak dapat keluar ke bandar. Saya harap laluan ini dapat di­selenggara secara berkala sementara Projek Jalan Bersepadu siap sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli memberitahu, hujan lebat sejak seminggu lalu menjadi punca jalan di Pos Balar dan Belatim rosak teruk.

Katanya, tindakan pertubuhan bukan kerajaan memasuki kampung Orang Asli tanpa kebenaran menggunakan kenderaan dalam jumlah banyak turut menjadi penyumbang kepada kerosakan di laluan berkenaan.

“Situasi itu sekali gus mengganggu pergerakan Orang Asli. Pada masa ini, laluan dari Kampung Kuala Suma ke Pos Bihai dan Pos Belatim termasuk dalam Projek Jalan Perhubungan Desa yang dalam pembinaan. Jakoa sentiasa memantau pelaksanaan projek itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI