LUMUT – Mayat seorang lelaki yang dipercayai membunuh diri telah ditemui di sebuah bangunan di Sitiawan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihak polis dari Balai Polis Sitiawan telah menerima maklumat awam berkaitan penemuan satu mayat di bangunan berkenaan kira-kira pukul 9.19 pagi.
“Pihak polis terdiri daripada anggota Balai Polis Sitiawan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah pergi ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat tersebut bagi mengesahkan kejadian berkenaan.
“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian telah menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh pihak Hospital Seri Manjung (HSM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat lelaki itu telah dibawa ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat.
Hasbullah berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian adalah disebabkan pelbagai kecederaan organ dalaman disebabkan jatuh dari tempat tinggi dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Hasil semakan siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan maklumat ke Balai Polis Sitiawan di talian 05-6916666 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung (05-6886222) dan hotline WhatsApp (017-6828005),” katanya. – KOSMO! ONLINE