fbpx

Kerugian cecah RM500 juta ditipu scammer di Facebook sepanjang 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAHMI

TUMPAT – Pengguna media sosial di negara ini mengalami kerugian mencecah hampir RM500 juta akibat terpedaya kegiatan penipuan (scam) menerusi platform media sosial Facebook sepanjang 2023.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, data mengenai keseluruhan kerugian itu diperoleh daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, Facebook merupakan antara empat media sosial popular yang digunakan oleh scammer (penipu siber) untuk memperdaya mangsa selain WhatsApp, Telegram dan TikTok.

“Kerugian RM500 juta itu hanya di Facebook sahaja dan secara keseluruhan jumlahnya jauh lebih besar.

“Mungkin golongan penjenayah (scammer) melihat ramai mangsa yang mudah ditipu di Facebook,” katanya pada sidang media selepas Program Ihsan Komuniti Madani di Kampung Baru Nelayan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, berdasarkan maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, terdapat hampir 14 bentuk penipuan di media sosial termasuk secara panggilan dan bersemuka.

Menurutnya, justeru, pihak Kementerian Komunikasi akan mohon untuk mengadakan kempen kesedaran penipuan di media sosial yang dimulakan di peringkat sekolah terutamanya melibatkan ibu bapa, guru dan murid-murid.

“Menerusi kempen yang akan dijalankan tidak lama lagi, kita akan mengingatkan bahawa remaja berusia bawah 13 tahun agar jangan membuka akaun media sosial.

“Bagi yang berusia 13 tahun ke atas pula, kempen itu akan membantu mereka untuk memanfaatkan media sosial dengan selamat untuk mengelak daripada menjadi mangsa scam selain memastikan data peribadi kekal selamat, ujarnya.

Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya berkata, masalah besar yang dihadapi di media sosial ketika ini adalah penghijrahan besar-besaran penjenayah ke alam media sosial.

Menurutnya, kebanyakan mangsa scammer di media sosial mengalami kerugian yang kecil sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

“Justeru, semua pihak perlu berhati-hati sekiranya menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan berkomunikasi di media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI