PUTRAJAYA – Kerajaan harus melabur dalam bidang kepolisian moden selaras usaha meningkatkan aspek pencegahan dan penguatkuasaan di kawasan berisiko jenayah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, aspek kepolisian moden secara dasarnya memanfaatkan perkembangan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, sebagai contoh, Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asia (AseanaPol) kini menggunakan acuan dan peralatan terkini yang diintegrasikan untuk bekerja secara automatik.
“Saya yakin kepolisian moden tidak lagi harus meramaikan ‘omnipresence’ (kehadiran dimana-mana) anggota sama ada beruniform atau tidak beruniform di lokasi tertentu sebaliknya lebih kepada peralatan.
“Justeru, kerajaan harus bertindak segera ke arah itu dalam memacu aspek pencegahan dan penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan The Asia International Security Summit and Expo 2025 (AiSSE 2025) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, biarpun keyakinan terus diletakkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AseanaPol namun, penjenayah juga telah meningkatkan keupayaan mereka terutama dalam jenayah siber. – KOSMO! ONLINE