MELAKA – Seorang jurusolek lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan selepas disyaki melakukan seks luar tabii terhadap seorang pelakon lelaki sambilan di sebuah salon di Ayer Keroh di sini, minggu lalu.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di hadapan sebuah premis di Taman Tasik Utama pada pukul 5.30 petang, semalam.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, penahanan suspek dibuat susulan pihaknya menerima laporan dibuat mangsa yang juga pengadu berusia 18 tahun kira-kira pukul 12.28 pagi pada 18 Januari.
Kata beliau, mangsa yang masih belajar di sebuah kolej di Bangi, Selangor telah datang ke salon milik suspek kira-kira pukul 3 petang pada 17 Januari lalu untuk mendandan rambut.
“Pengadu datang ke salon tersebut kerana suspek menawarkan servis dandanan rambut percuma kepadanya. Setelah selesai suspek menawarkan pula perkhidmatan urutan badan dan pengadu bersetuju kerana telah lama mengenali suspek.
“Suspek meminta pengadu membuka baju dan seluar tetapi pengadu enggan dan hanya memakai seluar pendek paras lutut. Suspek kemudian menyuruh pengadu baring di atas katil dan mula mengurut bahagian belakang serta hadapan badan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Md. Nazri, suspek secara tiba-tiba telah bertindak membuka seluar dalam dan melakukan perkara tidak senonoh sambil memegang peha dengan kuat.
“Pengadu berasa terkejut dan terus keluar dari salon setelah selesai sesi urutan. Pengadu kemudian meminta bantuan rakannya dan mengambil masa untuk bertenang sebelum tampil membuat laporan polis.
“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Januari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE