SEREMBAN – Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima permohonan representasi yang dikemukakan tiga pembantu pengajar madrasah di Kuala Pilah berhubung pertuduhan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak yang dihadapi mereka.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Surita Budin memaklumkan, representasi yang diterima melibatkan tertuduh, Muhammad Habib Noh Mohd. Zairi, 22, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 21, dan Muhammad Fawzun Azim Ismail, 21.
Menurut Rasyidah Murni, representasi itu diteliti di peringkat tertinggi dan pihak pendakwaan menerima untuk menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 377 E Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun seorang lagi tertuduh, Ahmad Nadzful Izham Azizan, 23, kekal dengan pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana tidak mengemukakan representasi.
Dalam pada itu, peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili empat tertuduh berkata, beliau memohon masa kepada mahkamah untuk berbincang dengan keluarga anak guam berkaitan hukuman atau apa-apa perintah.
Mahkamah menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes. Bagi tertuduh, Ahmad Nadzful tarikh sama ditetapkan bagi serahan laporan perubatan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan laporan itu tidak dapat diserahkan kepada pembelaan hari ini. – KOSMO! ONLINE