BANGKOK – Sekurang-kurangnya lima orang cedera dipijak seekor gajah yang mengamuk apabila bunga api dinyalakan semasa majlis perasmian sebuah pesta di timur laut Thailand, lapor portal berita Bangkok Post semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan) di Nong Bua Lam Phu, wilayah Kanchanaburi.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana menyatakan, gajah jantan berusia 10 tahun itu datang ke pesta ria bersama pengendalinya untuk menjual tebu kepada pengunjung.
Pengunjung boleh membeli tebu untuk diberi makan kepada haiwan itu.
“Gajah itu terkejut apabila bunga api dinyalakan dan mula merempuh orang ramai.
“Lima pengunjung mengalami cedera ringan,” kata jabatan berkenaan dalam satu kenyataan.
Kedua-dua gajah dan pengendalinya kemudian ditangkap pihak berkuasa selepas melarikan diri dari tempat kejadian.
“Pengendali gajah berkenaan tiada kebenaran untuk menyertai pesta atau memindahkan haiwan itu dari wilayah Surin ke bandar Nong Bua Lam Phu,” tambahnya. – AGENSI