BRENTFORD – Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui beliau hampir pasrah dan menganggap aksi menentang Brentford kelmarin bukan hari terbaik pasukannya apabila terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit perlawanan.
Bagaimanapun, tuah masa tambahan nyata memihak The Reds apabila penggempurnya, Darwin Nunez meledak dua gol untuk mencatat kemenangan 2-0 pada aksi berkenaan sekali gus mengembalikan pasukan ke landasan memburu kejuaraan.
Sepanjang 90 minit perlawanan tersebut, Liverpool memiliki 37 percubaan ke arah gawang Brentford, namun gagal menewaskan Mark Flekken dengan Nunez, Cody Gakpo, Luis Diaz dan Mohamed Salah memiliki peluang terbaik.
“Sudah tentu saya ragu-ragu mengenai kemampuan kami menjaringkan gol kerana sebelum dua jaringan itu terhasil, saya tidak nampak kami membuat banyak perubahan dalam permainan, semuanya sama.
“Sejak kebelakangan ini, ketika menentang Tottenham, kami terlepas banyak peluang, begitu juga ketika menentang Nottingham Forest. Jadi, apa yang kami lakukan kali ini sangat mengejutkan.
“Namun, ketika masa tambahan saya masih mengharapkan kami mampu melakukan sesuatu dalam tempoh lima minit terakhir. Para pemain membuktikan jangkaan saya silap apabila merasakan perlawanan ini berakhir dengan seri tanpa jaringan,” katanya.
Selepas Arsenal hanya mampu terikat 2-2 menentang Aston Villa, kemenangan Liverpool membolehkan mereka ketika ini memiliki kelebihan enam mata di puncak liga dengan kekurangan satu lagi perlawanan.
“Setiap kemenangan adalah penting terutama ketika pasukan yang sedang mencabar kami cukup kuat. Kami semua perlu sentiasa bersedia kerana musim ini tidak mudah,” jelas ketua pasukan Liverpool, Virgil Van Dijk. – AGENSI