KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperkenalkan permit khas bernilai RM200 setahun kepada setiap penggiat busker atau seniman jalanan yang mahu bergiat di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, permit yang dikenakan kepada setiap busker yang aktif tersebut bertujuan untuk mengawal selia aktiviti tersebut yang semakin berkembang pesat di bandar raya ini sejak kebelakangan ini.
“Kami (MBKT) ambil inisiatif awal mengadakan libat urus untuk mendengar luahan, isu berbangkit dan cadangan penggiat buskers atau seniman jalanan terbabit.
“Cadangan-cadangan tersebut akan disampaikan kepada kerajaan negeri (Terengganu) untuk membuat keputusan (pindaan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan MBKT 2002 dan
Kaedah-Kaedah Hiburan Negeri Terengganu 2003),” katanya selepas mengadakan libat urus dengan penggiat buskers tempatan di sini hari ini.
Rosli berkata, buat masa ini, penggiat buskers akan dibenarkan untuk bergiat mengikut budi bicara di bawah Klausa 20 Kaedah-Kaedah Hiburan Negeri Terengganu 2003.
Beliau berkata, persembahan perlu mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri termasuk tidak melibatkan wanita dan tidak boleh dilaksanakan pada malam Jumaat.
“Sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk kompaun maksimum RM25,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE