BACHOK – Kegembiraan seorang kanak-kanak yang memancing bersama adik dan rakannya semasa musim cuti persekolahan berakhir tragedi apabila dia tergelincir sebelum lemas di kawasan anak sungai di Jalan Beris Lalang, Kampung Mujur, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa yang berusia tujuh tahun dijumpai di dalam pembetung iaitu kira-kira 4.5 meter daripada tempat dia terjatuh.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Abdul Rashid Abd.Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mangsa lemas kira-kira pukul 11.02 pagi sebelum anggota bba bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati mangsa sudah sejam terjatuh ke sungai ketika sedang memancing bersama adiknya yang berusia enam tahun dan seorang rakan berumur sembilan tahun.
“Siasatan mendapati, mangsa jatuh pada ketinggian 2.4 meter ke dalam sungai sebelum rakannya cuba menghulur tangan, namun tidak sampai kerana terlalu tinggi.
“Mangsa kemudian dihanyutkan arus dan terperangkap dalam pembetung sebelum ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) selepas melakukan selaman selama 10 minit,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Abdul Rashid memberitahu, mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE