JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut selepas dirempuh Perodua Alza ketika merakam gambar kemalangan jalan raya di Kilometer 14, Lebuh Raya Iskandar Sultan di sini, pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata, mangsa lelaki berusia 68 tahun itu cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza yang dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun dari arah Jalan Prisma menuju ke Johor Bahru, cuba mengelak kereta Honda CRV yang terbabas, sebelum melanggar batu konkrit pembahagi jalan.
“Akibat daripada kejadian itu, kereta Perodua Alza terbabit terbabas dan terlanggar mangsa yang sedang mengambil gambar kejadian kemalangan sebelum itu.
“Pemandu kereta Perodua Alza mengalami kecederaan pada bahagian kepala, muka, tangan kiri dan kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balveer Singh berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar menyalurkannya kepada pegawai penyiasat Inspektor Ong Jin Siong di talian 011-16490168,” katanya. – KOSMO! ONLINE