KUALA LUMPUR – Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co. (ASKCO) bersama Corporate Mind Group, Permodalan Kedah Berhad (PKB), dan Prof. Tan Sri Dr. Nordin Kardi dari Jakarta Business School (JBS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan usahawan.
Menurut Rakan Kongsi Utama ASKCO, Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar, menerusi kerjasama berkenaan, pihaknya akan memberi khidmat nasihat perundangan kepada syarikat kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat lain yang ingin berkembang di pasaran global.
“Rangkaian ASKCO meliputi pasaran domestik dan juga antarabangsa seperti Indonesia, Singapura, Dubai, Switzerland, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan China.
“Kami harap kerjasama ini dapat membantu usahawan Malaysia supaya lebih berdaya saing,” katanya pada majlis pemeteraian MoU hari ini.
Dr. Nordin menjelaskan, kerjasama itu akan membuka peluang kepada usahawan Malaysia untuk membina jaringan perniagaan di Indonesia, selain memberi peluang kepada usahawan untuk melanjutkan pengajian di JBS.
“Usahasama ini juga bertujuan untuk menjalin hubungan antara pemilik perniagaan dan pihak berkepentingan utama, sekali gus membentuk pakatan strategik yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, Corporate Mind Group akan memfokuskan kepada strategi seperti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta strategi pelaburan ekuiti.
Peranan PKB pula adalah menyediakan nasihat pakar dalam isu tanah dan hartanah, serta membuka peluang bagi perniagaan tempatan meneroka pasaran antarabangsa. – KOSMO! ONLINE