KUALA LUMPUR – Durian runtuh menanti pemain bola keranjang negara apabila Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menawarkan 16 buah kondominium kepada mereka yang berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 nanti.
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, langkah tersebut bagi menaikkan semangat pemain negara untuk mencipta sejarah menjuarai temasya dwitahunan yang berlangsung pada Disember nanti.
Katanya, selain pemberian rumah, pemain negara yang berjaya menuai pingat emas turut diberikan hadiah berbentuk wang tunai.
“Jika mereka (pasukan lelaki dan wanita) berjaya membawa pulang emas, setiap pemain akan menerima satu unit kondominium bernilai RM330,000 di Cheras.
“Ini adalah penghargaan tertinggi untuk para pemain yang memberikan segalanya demi negara menjelang Sukan SEA 2025 nanti.
“Rumah tersebut sedang dibina dan akan siap lagi tempoh dua hingga tiga tahun. Selain itu, kami juga akan bagi wang tunai kepada mereka tetapi hadiah rumah tersebut khas kepada pemenang pingat emas sahaja,” katanya.
Kondominium yang ditawarkan tersebut dikatakan lengkap dengan dua bilik tidur dan keluasan 700 kaki persegi, terletak di kawasan strategik dengan kemudahan moden.
Sebelum ini, Tian Hock pernah menjanjikan insentif peribadi lumayan kira-kira RM2 juta kepada pasukan bola keranjang sekiranya berjaya meraih pingat emas pada Sukan SEA Hanoi 2021 dan Kemboja 2024.
Bagaimanapun, ketika itu skuad wanita hanya berjaya membawa pulang gangsa di Hanoi dan Kemboja dengan setiap pemain mendapat RM10,000.
Dalam pada itu, Tian Hock turut mengakui Sukan SEA 2025 akan menjadi medan persaingan yang sengit memandangkan banyak negara seperti Filipina, Kemboja dan Vietnam mengambil pemain naturalisasi, kebanyakannya dari Amerika Syarikat.
“Pasukan negara tidak ketinggalan kerana MABA sedang memohon kelulusan untuk menaturalisasikan dua pemain lelaki dan seorang pemain wanita bagi pasukan 3X3 dan 5X5.
“Tanpa pemain naturalisasi, sukar untuk bersaing kerana bola keranjang perlukan ketinggian dan kekuatan fizikal,” jelasnya.
Edisi terakhir di Kemboja pada 2023 menyaksikan skuad lelaki hanya menduduki tempat kelima, manakala pasukan wanita mempertahankan gangsa dimenangi di Hanoi 2021.