JEMPOL – Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas motosikal ditunggangi merempuh kereta di kilometer lapan, Jalan Bahau-Kemayan, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, penunggang motosikal berusia 17 tahun berkenaan parah di kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perdana yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 16 tahun dan sebuah motosikal jenis Honda RS.
“Kereta itu dari arah Mahsan menuju ke Raja Alias. Dipercayai, remaja berkenaan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan berlaku pertembungan dengan kereta tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, dalam kejadian berkenaan, pemandu kereta mengalami kecederaan luka-luka dibahagian muka serta tangan, manakala penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE