JOHOR BAHRU – Polis Johor menafikan dakwaan tular di akaun media sosial Singapura mendakwa seorang anggota trafik telah meminta ‘duit kopi’ ketika sedang bertugas di Tambak Johor, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengambil serius dakwaan yang dibuat di laman Facebook, ‘Singaporean’s Guide To JB’.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati dakwaan berkenaan berlaku antara pukul 5 petang hingga 6 petang, Khamis lalu kira-kira 500 meter dari Bangunan Sultan Iskandar (BSI) menghala ke Singapura.
“Ketika kejadian, empat anggota trafik sedang menjalankannya penguatkuasaan kesalahan memotong barisan di lokasi. Keterangan keempat-empat anggota telah diambil dan mereka menafikan dakwaan meminta dan menerima wang.
“Sepanjang tugas dijalankan, sebanyak 69 saman atas kesalahan memotong barisan telah dikeluarkan kepada pemandu-pemandu yang didapati melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup bagi memastikan tiada sebarang salah laku dilakukan anggota bertugas.
“Polis sedang mengesan individu yang merakam gambar dan membuat dakwaan tersebut kerana tindakan menyebar maklumat palsu mencemar reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah satu kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE