fbpx

Piala Malaysia: JDT belum sedia rasa selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF AIMAN berjaya meledak dua gol ketika JDT berjaya membenam TFC 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin.

BIARPUN berjaya membawa bekalan selesa empat gol, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui aksi dengan Terengganu FC (TFC) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin bukanlah sesuatu yang mudah.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, skuad Sang Penyu telah memberi tentangan sengit dengan melancarkan beberapa serangan balas berbahaya.

“Aksi dengan TFC sukar, mereka rajin melakukan tekanan dan melakukan gerakan kemas (ke kubu JDT).

“Serangan balas (TFC) amat berbahaya, tetapi dapat ditangkis barisan pertahanan kami,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.

Dalam aksi tersebut, JDT yang merupakan juara bertahan Piala Malaysia berjaya membenam TFC 4-0 hasil dua jaringan Arif Aiman Hanafi serta masing-masing satu gol disumbang Romel Morales dan Bergson Da Silva.

Begitupun skuad Harimau Selatan terpaksa menunggu sehingga minit ke-79 untuk meledak tiga lagi gol sebagai bekalan selesa dibawa pada separuh akhir kedua di laman sendiri pada 1 Februari depan.

Dalam perkembangan sama, Bidoglio berpuas hati komitmen diberikan anak buahnya yang membawa kepada kejayaan mereka menjinakkan TFC di hadapan penyokong tegar tuan rumah.

Beliau berkata, skuad kendaliannya mempamerkan persembahan membanggakan dengan cuba menguasai bola dalam tempo permainan pantas.

Begitupun Bidoglio mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu selesa dan memandang mudah pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada awal bulan depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI