PETALING JAYA – Seorang pejuang Palestin bukan sahaja syahid ketika sedang berpuasa, bahkan pada hari tersebut sebenarnya dia tidak mempunyai wang untuk membeli makanan berbuka.
Kisah itu diceritakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berhubung seorang lelaki Palestin dikenali sebagai Abdur Rahman yang terbunuh susulan serangan tentera Zionis Israel.
“Hari ketiga Abdur Rahman syahid, kenalan kami masih tak putus berhubung menceritakan pengalaman yang dilalui bersama Abdur Rahman. Cerita akhir yang sampai kepada kami, Abdur Rahman syahid ketika sedang berpuasa.
“Wallahua’lam tamat puasa hari putih tiga hari, dia menyambung puasa sunat hari Khamis. Cumanya di tangan tak ada satu sen pun untuk membeli makanan berbuka,” katanya pada hantaran itu.
Beliau berkata, Abdur Rahman kemudian meminta seorang pemuda yang merupakan kenalan Muhammad Nadir Al-Nuri untuk ke rumahnya yang dibom sejak awal perang.
“Cari basikal anak aku di bawah runtuhan, tolong jualkan sebagai besi buruk, berapa yang kita dapat kita akan guna untuk berbuka,” kongsi Muhammad Nadir Al-Nuri berhubung perbualan Abdur Rahman bersama rakannya itu.
Katanya, basikal rosak tersebut ditemui dan ia dijual, manakala wang yang diperolehi sekitar RM100 cukup untuk membolehkan beberapa orang kenyang dalam sehari.
“Tetapi takdir Allah, pagi itu dia dijemput berbuka di sisi-Nya. Ketika jenazahnya diusung, badannya yang susut membuktikan yang dia seperti pimpinan lain, jarang sekali mengisi perut.
“Semoga engkau tenang dan kenyang di sana, bersama sahabat-sahabatmu yang telah terlebih dahulu mendahuluimu,” katanya. – KOSMO! ONLINE