SHAH ALAM – Suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat pelancongan menawarkan pakej umrah melibatkan kerugian RM2.1 juta memiliki rekod lampau kes penipuan pelaburan di Johor tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu turut melibatkan kes pelaburan dan ia masih dalam siasatan.
“Buat masa ini kedua-dua mereka akan diambil alih oleh polis Johor bagi siasatan lanjut. Siasatan mendapati wujud unsur penipuan berkaitan kes melibatkan kerugian RM2.1 juta, minggu lalu.
“Ia melibatkan proses permohonan visa, tempahan penerbangan dan penginapan di Arab Saudi yang tidak dibuat melalui proses yang betul,” katanya ketika ditemui pada di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Hussein menambah, reman pasangan suami isteri itu tamat hari ini dan manakala enam suspek lain diberikan jaminan polis dan pihaknya juga dalam proses memanggil saksi-saksi dan mangsa terlibat bagi membantu melengkapkan siasatan.
“Kita dapati mereka turut gunakan ejen dan melibatkan negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Johor. Setakat ini sudah menerima 42 laporan daripada mangsa, ejen dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seramai 314 bakal jemaah umrah mengalami kerugian hampir RM2.1 juta selepas syarikat pengendali pakej ibadah itu gagal menunaikan janji untuk menerbangkan kumpulan berkenaan ke Tanah Suci. – KOSMO! ONLINE