PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberi jaminan untuk bekerjasama dengan polis bagi menyiasat dakwaan berlakunya peras ugut oleh pegawai dan anggotanya ke atas sebuah kilang di Kapar, Selangor.
JKDM dalam kenyataan berkata, ia bagi memastikan siasatan dilakukan secara telus dan menyeluruh selepas isu itu tular di media sosial pada 30 Disember 2024 dan Selasa lalu.
“Kami memandang serius terhadap setiap dakwaan salah laku yang melibatkan pegawai dan anggota jabatan.
“Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terbabit hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan PDRM kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JKDM turut menegaskan, jabatan itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai dan anggotanya sekiranya terbabit dengan salah laku dan pelanggaran integriti termasuk rasuah.
“JKDM terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti serta memastikan kepercayaan masyarakat terhadap jabatan ini sentiasa terpelihara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE