fbpx

Liputan 5G fokus kawasan berimpak tinggi – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi ketika sidang akhbar selepas program Sumbangan Tahun Baru Cina di Pasar Pagi Taman Seri Sentosa, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK

KUALA LUMPUR – Tumpuan pelaksanaan rangkaian 5G bukan semata-mata mencapai liputan 100 peratus, namun lebih memberi manfaat maksimum kepada sektor-sektor strategik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya telah mengenal pasti lebih 67 kawasan zon perindustrian yang akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan rangkaian 5G.

“Fokus kita adalah kawasan yang boleh menerima manfaat terbesar seperti zon-zon perindustrian.

“Ini akan membantu syarikat-syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kilang-kilang untuk memanfaatkan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan Big Data yang memerlukan internet berkelajuan tinggi serta selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sumbangan Tahun Baru Cina di Pasar Pagi Taman Seri Sentosa, hari ini.

Fahmi menjelaskan, keutamaan diberi kepada sektor perindustrian kerana teknologi 5G mampu menyokong pembangunan ekosistem digital, meningkatkan kecekapan operasi dan mendorong inovasi.

Beliau turut memaklumkan, bahawa pelaksanaan rangkaian 5G akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Industri Keempat (MED4IR) yang dijadualkan berlangsung pada 12 Februari depan.

“Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita akan bincang termasuk mengenai pelaksanaan rangkaian 5G.

“Sama ada yang pertama di bawah Digital Nasional Berhad ataupun yang kedua di bawah U-Mobile,” ujarnya.

Semalam, Fahmi dilaporkan berkata, kadar liputan rangkaian 5G di negara ini berjaya mencapai 82.4 peratus dalam kawasan berpenduduk setakat Disember tahun lalu.

Katanya, perkembangan tersebut menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia yang memperluas akses komunikasi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI