PASIR PUTEH – Lima buah deretan rumah kedai hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Alor Pasir, di sini petang tadi.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, empat jentera bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pasir Puteh , BBP Tok Bali, BBP Tanah Merah dan BBP Ketereh bergegas ke lokasi kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
Menurutnya, seramai 28 anggota bomba terlibat berjaya memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati, sebahagian daripada rumah kedai terbabit hangus 100 peratus.
“Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut. Pemantauan masih dilakukan bagi memastikan sisa kebakaran padam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Azhar memberitahu, punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE