PETALING JAYA – Lebih 4,900 penyertaan awal secara sukarela melibatkan pembayar cukai telah diterima, bagi fasa tiga inisiatif e-Invois dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menerusi kenyataan LHDN, pelaksanaan e-Invois di Malaysia telah memasuki fasa dua dan memperlihatkan peningkatan penyertaan sangat menyakinkan.
“Sehingga 17 Januari, lebih daripada 7,000 pembayar cukai fasa dua telah menggunakan sistem e-Invois, manakala fasa tiga turut mencatatkan penyertaan awal secara sukarela daripada 4,900 pembayar cukai.
“Trend positif ini mencatatkan secara keseluruhan sebanyak 17,000 pembayar cukai (syarikat / perniagaan / organisasi) telah secara aktif menggunakan sistem ini dengan melibatkan pengeluaran sekitar 137 juta e-Invois,” menurut LHDN.
Jumlah tersebut disokong dengan peningkatan yang berterusan menunjukkan pelaksanaan e-Invois ini semakin difahami dan diterima baik oleh pembayar cukai.
Dalam pada itu, pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai depan yang melibatkan semua pembayar cukai termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kerajaan telah bersetuju untuk memberi pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada PMKS yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 yang mana ia melibatkan lebih 700,000 PMKS.
“Kerajaan sangat menggalakkan penglibatan mereka bagi melaksanakan inisiatif e-Invois secara sukarela selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan operasi perniagaan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kerajaan menyediakan tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran kepada pembayar cukai untuk mengeluarkan e-Invois disatukan, iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan secara bulanan.
“Sepanjang tempoh peralihan ini juga, penalti tidak akan dikenakan kepada pembayar cukai yang sekurang-kurangnya mengeluarkan e-Invois disatukan.
“LHDN juga telah menyediakan Portal MyInvois yang boleh diakses dan digunakan secara percuma bagi proses penghantaran e-Invois,” menurut LHDN. – KOSMO! ONLINE