fbpx

Kari kaci, jenahak buka selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAINI menunjukkan hidangan popular di gerainya di Medan Selera Benteng, Kluang, Johor.

SEBUT sahaja Medan Selera Benteng di Jalan Batu Pahat – Kluang, Johor berhampiran Jalan Dosert pasti orang ramai akan membayangkan satu deretan gerai makan di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang menyediakan lauk-pauk aneka pilihan dan cara masakannya.

Malah, kawasan gerai makan yang berada hanya kira-kira satu kilometer dari bandar Kluang ini seakan tidak asing bagi kakitangan awam serta anggota beruniform seperti tentera dan polis apabila kedudukannya di tepi jalan serta dalam lingkungan kawasan pejabat. 

Kemudahan tempat letak kereta yang tersusun dan banyak di kawasan medan selera ini juga secara tidak langsung membolehkan orang ramai datang untuk menjamu selera atau mendapatkan lauk- pauk daripada pengusaha-pengusaha yang menjalankan perniagaan di situ. 

Salah satu gerai makan yang menjadi pilihan orang ramai adalah gerai Nombor 10 P Noura yang diusahakan bekas pekerja sebuah hotel tiga bintang di bandar ini iaitu Noraini Basiman yang menyediakan pelbagai jenis lauk dan mempertaruhkan ikan-ikan laut sebagai menu utama hidangannya. 

KARI kepala ikan kaci mampu menambat selera para pengunjung.

Menurut ibu kepada dua orang anak ini, perniagaan yang mula diusahakannya pada tahun 2018 itu menetapkan kari ikan kaci dan jenahak serta asam pedas ikan merah, ikan parang serta pari sebagai tarikan utama ke gerai miliknya itu. 

Keistimewaan masakan di gerai Noraini ini adalah setiap masakan yang disediakan olehnya tidak sedikit pun diletakkan belacan sebagai perisa penyedap, selain sambal belacan untuk ulam-ulaman.

“Apa yang saya lakukan adalah menjadikan semua lauk berkuah ini dimasak pekat kerana dengan cara itu akan lebih sedap tanpa perlu meletakkan belacan sebagai penambah perisa,” katanya kepada CitaRasa. 

Gerai makan yang dibuka seawal pukul 10 pagi dan tutup selewat-lewatnya pukul 5 petang ini menyediakan lauk-pauk lain seperti ayam dan daging lembu masak kari selain sayur-sayuran ala masakan hotel.

ANEKA lauk enak yang menanti pengunjung.

Kedai ini bagaimanapun tidak menyajikan masakan Barat berikutan perniagaan hanya dijalankan pada waktu siang dan sajian itu lazim disantap pada waktu malam. 

Mengulas berkaitan ikan laut yang disediakannya, Noraini hanya menggunakan ikan-ikan segar yang ditempah khas daripada pembekal dan tidak membeli di pasar raya atau kedai-kedai hyper lain di bandar ini. 

“Semua ikan yang ditempah itu akan dihantar awal pagi sebelum dibersihkan dan dimasak bagi membolehkan ia sentiasa segar untuk menjadi hidangan pelanggan ketika datang makan tengah hari di gerai ini,” katanya. 

Tambah Noraini, untuk makanan seperti nasi goreng juga tidak disediakan di gerai ini kerana Noraini hanya mahu menumpukan kepada kehadiran pelanggan sepanjang tempoh gerai dibuka. 

Terangnya, resipi atau kaedah masakan di sini adalah hasil pesanan yang dititipkan oleh ibunya ketika mula-mula menyuarakan hasrat untuk menceburi bidang jualan makanan. 

“Menurut ibu, masakan yang dicampur dengan belacan dikhuatiri akan menyebabkan alahan kepada sebahagian orang,” katanya. 

Sementara itu, pada bulan Ramadan, gerai ini akan dibuka seawal pukul 3 petang bagi membolehkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa setiap hari. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI