KANGAR – Seorang bayi perempuan ditemui ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Jalan Kampung Rama, Kuala Sanglang, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Yusop berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga pemilik rumah berkenaan memaklumkan penemuan bayi itu pada pukul 8.35 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Empat telah dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan awal dan bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), untuk pemeriksaan kesihatan.
“Setakat ini, umur sebenar bayi masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab meninggalkannya,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE