PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akan bertemu dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memberikan perspektif tepat mengenai hak polis memeriksa telefon bimbit orang awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah meminta Razarudin untuk berbincang dengan Suhakam supaya segala isu berbangkit dapat diselesaikan.
Beliau berkata, pihaknya mahu isu berkenaan difahami dengan lebih tepat dan mengikut sudut pandangan keselamatan selepas pertemuan itu (polis dan Suhakam).
“Saya berharap Suhakam dapat bantu polis mendidik masyarakat mengenai perkara itu. Kami ingin jelaskan bahawa pihak polis tidak boleh sama sekali menyemak telefon bimbit orang kecuali ada asas untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan penganjuran The Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Katanya, perbincangan antara polis dan Suhakam itu juga penting supaya tiada pelanggaran daripada aspek hak asasi manusia.
Saifuddin berkata, polis bukanlah satu pasukan yang boleh sewenangnya menyemak telefon orang awam sebaliknya ia dilakukan dengan tertib (ikut peruntukan undang-undang). – KOSMO! ONLINE