KEMAMAN – “Hancur hati saya apabila melihat video suami disepak, dipukul dan diheret serta dicurahkan mi goreng di atas kepala.”
Itu luahan Faridah Abdul Karim, 44, yang merupakan isteri lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai di sini pada Jumaat lalu.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, tindakan beberapa individu yang memukul dan menyepak suaminya disifatkan sebagai tidak berperikemanuasiaan dan tidak berhati perut.
“Suami saya sudah berulang kali memohon maaf namun mereka (pelaku) tetap memukul suami saya. Sewaktu suami saya minta diberikan air untuk membasuh matanya yang pedih kerana dicurahkan mi goreng, dia sekali lagi disepak pada bahagian kepala.
“Kenapa layan suami saya begitu, dia juga manusia seperti orang lain dan bukannya haiwan,” katanya sewaktu disantuni Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Fadini Rahim di rumahnya di Kampung Mak Chili, di sini hari ini.
Dalam kunjungan itu, Faridah dan anak-anaknya sempat berbual dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menerusi panggilan video.
Faridah berkata, sekiranya benar suaminya bersalah dan sengaja melanggar gerai makanan itu, perkara itu seharusnya diselesaikan secara baik.
Kosmo! Online Jumaat lalu melaporkan, lelaki mental itu telah dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada pukul 9.30 pagi.
Insiden dipercayai berpunca rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangi mangsa dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar tani terbabit sehingga menyebabkan makanan jualan tertumpah ke atas jalan.
Setakat ini, tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE