BANDAR GAZA – Gencatan senjata di Semenanjung Gaza yang telah lama ditunggu-tunggu ditangguhkan pagi ini selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata pada saat-saat akhir bahawa ia tidak akan berkuat kuasa sehingga Hamas menyediakan senarai nama tebusan yang akan dibebaskan.
Hamas, sambil mengukuhkan komitmennya terhadap syarat gencatan senjata berkata: “Kelewatan dalam memberikan nama mereka yang akan dibebaskan dalam kumpulan pertama adalah disebabkan oleh isu teknikal.”
Kenyataan dikeluarkan pejabat Netanyahu kurang sejam sebelum gencatan senjata sepatutnya dimulakan, menyebut bahawa dia mengarahkan gencatan senjata tidak bermula sehingga Israel menerima senarai itu.
Berdasarkan rancangan awal, gencatan senjata di Gaza dijadualkan bermula pada pukul 8.30 pagi (waktu tempatan).
Pertukaran awal akan menyaksikan tiga tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran kepada kumpulan pertama tahanan Palestin.
Jika gencatan senjata diteruskan, sejumlah 33 tebusan Israel di Gaza akan dibebaskan semasa gencatan senjata fasa pertama selama 42 hari.
Susulan penangguhan itu, tentera Israel meneruskan serangan di utara Gaza hari ini, demikian menurut seorang wartawan AFP.
Penyelamat Gaza berkata, lapan orang terbunuh dan 25 lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza pagi ini. – AFP