LONDON – Seorang juruteknik terpaksa berputih mata apabila kereta Ferrari yang dipandunya remuk selepas melanggar tiang lampu ketika melakukan pandu uji di utara London, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kejadian berlaku di London Road berhampiran kawasan kejiranan Markyate, Hertfordshire pada Khamis lalu.
Pemandu kereta Ferrari F40 itu dipercayai hilang kawalan, menyebabkan kenderaan tersebut terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu.
Imej yang dimuat naik di media sosial memaparkan ‘supercar’ dianggarkan berharga £1 juta (RM5.5 juta) itu terbalik di tepi jalan dengan badan yang remuk.
Seorang jurucakap Polis Hertfordshire Constabulary berkata: “Polis menerima panggilan sekitar pukul 12.50 tengah hari (waktu tempatan) mengenai kemalangan di London Road, Markyate.”
Tambah polis, pemandu tersebut dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. – AGENSI