MANCHESTER – Penggempur sensasi Manchester City, Erling Haaland menamatkan spekulasi masa depannya selepas menandatangani kontrak baharu selama 10 tahun menyaksikannya kekal di Etihad sehingga 2034.
Pemain berusia 24 tahun itu menikmati momen terbaik ketika bersama Borussia Dortmund selama dua musim sebelum berhijrah menyertai City pada 2022 seterusnya menjadi tonggak membantu pasukan itu menjulang gelaran trebel pada tahun tersebut.
Sepanjang musim tersebut, Haaland berjaya meledak 52 gol dalam semua kejohanan termasuk 36 gol di Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memenangi anugerah Kasut Emas selain dipilih sebagai pemain terbaik tahunan, pemain muda terbaik tahunan dan pemain terbaik anugerah penulis-penulis sukan.
Walaupun musim ini menyaksikan prestasinya sedikit merudum, Haaland masih mampu meledak 16 gol dalam 21 perlawanan EPL dan meledak 21 gol dalam 28 aksi dalam semua kejohanan.
Haaland ketika ini menerima gaji mingguan sebanyak £375,000 (RM2.06 juta) dan kontrak baharu tersebut menyaksikan dia bakal menerima pendapatan mingguan baharu sekitar £500,000 (RM2.74 juta) dan keseluruhannya £260 juta (RM1.43 bilion) sepanjang tempoh sedekad itu.
“Saya sangat gembira dengan kontrak baharu yang diterima dan teruja untuk meneruskan karier bersama kelab hebat ini. Manchester City adalah kelab yang istimewa, kami mempunyai penyokong yang luar biasa dan suasana di sini juga begitu sempurna.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Pep Guardiola, staf kejurulatihan, rakan sepasukan dan semua orang di kelab ini kerana telah banyak membantu saya selama ini,” kata Haaland. – AGENSI