PETALING JAYA – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar melalui penganjuran Cyber Eco Hunt 2025 yang bertempat di Taman Komuniti Pendidikan Bentong (BECO Park) baru-baru ini.
Program ini menjadi platform penting untuk mempromosikan amalan pengurusan sisa yang bertanggungjawab dan kelestarian, dengan pendekatan yang menggabungkan penglibatan digital dan komuniti.
Inisiatif ini bertujuan untuk menyampaikan mesej penting tentang kelestarian kepada khalayak yang lebih luas, menggalakkan amalan hijau dalam kehidupan seharian.
Peserta dikehendaki menyertai lima ‘checkpoint’ interaktif yang direka untuk meningkatkan pemahaman mendalam tentang pengurusan sisa iaitu Sarapan Mangkuk Tingkat, Trash to Treasure dan Checkpoint.
Sarapan Mangkuk Tingkat adalah untuk menggalakkan pengurangan plastik sekali guna untuk gaya hidup lebih mesra alam dan meminimumkan pembaziran makanan manakala Trash to Treasure telah memanfaatkan kreativiti peserta dalam mengitar semula bahan menjadi karya seni manakala Checkpoint memfokuskan kepada kepada amalan pengasingan dan kitar semula sisa yang betul.
Selain itu, peserta yang terlibat juga memberi penghargaan kepada pasukan operasi Alam Flora yang gigih menjaga kebersihan awam dan juga menyebarkan mesej digital yang berimpak untuk memberi inspirasi kepada komuniti global.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain, berkata, Cyber Eco Hunt 2025 adalah manifestasi komitmen Alam Flora terhadap misi sedia ada syarikat iaitu ‘Enhancing Life, Enriching Communities.
“Dengan menyatukan pendidikan dan pengaruh digital, Alam Flora ingin mencetuskan perubahan positif yang nyata dan menggalakkan rakyat meletakkan kelestarian sebagai keutamaan.
“Kami percaya bahawa pengurusan sisa yang bertanggungjawab bermula dari rumah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Cyber Eco Hunt 2025 turut menonjolkan usaha pasukan operasi Alam Flora yang berdedikasi dalam memastikan persekitaran awam yang bersih dan hijau.
Usaha mereka mencerminkan impak besar yang boleh dicapai melalui kerjasama komuniti ke arah kelestarian.
Melalui jaringan luas pemimpin digital, Alam Flora mensasarkan untuk menyampaikan mesej tanggungjawab alam sekitar dengan pantas dan berkesan kepada komuniti lebih besar, memacu kesedaran dan tindakan ke arah kelestarian.
Inisiatif ini adalah adalah sebahagian daripada tonggak perniagaan Malakoff, aspirasi Penyelesaian Alam Sekitar Malakoff untuk memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan penyelesaian yang didedikasikan untuk berkhidmat kepada masyarakat. -KOSMO! ONLINE