TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.’ Begitulah perumpamaan tepat bagi menggambarkan kisah seorang pereka beg tempatan, Chew Kai Hung apabila hasil tangannya diperagakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakan tidak, pemuda berusia 25 tahun tersebut akui pernah serik mengambil tempahan beg secara custom-made sepenuhnya setelah mengalami pengalaman buruk bersama pelanggan yang tidak bertanggungjawab.
Namun pada kali itu, hatinya terdetik untuk menerima tempahan daripada kenalan yang ditemuinya pada satu acara berkaitan fesyen di Pulau Pinang, sekitar April tahun lalu.
Ini kerana pelanggan itu kelihatan sangat yakin dan tahu tentang ciri-ciri beg yang dimahukan sekali gus membuatkan anak jati Pulau Pinang tersebut berasa teruja menjayakannya.
Pelanggan yang membuat tempahan pada sekitar Oktober lalu itu mendedahkan bahawa beg tersebut bukan untuknya sebaliknya dia hanya menjalankan tugas sebagai orang tengah.
Menurut Kai Hung, pelanggan itu mahu ciri-ciri kebudayaan yang mewakili tiga kaum utama di Malaysia dapat diterjemahkan ke atas rekaan beg fail eksklusif itu.
“Saya menggunakan fabrik songket untuk mewakili masyarakat Melayu, sementara elemen sari daripada masyarakat India pula digunakan sebagai pelapik.
“Elemen kaum Cina terjemahkan menerusi logo yang saya letakkan pada bahagian dalam beg yang menunjukkan ia dihasilkan pereka berketurunan Cina.
“Pada bahagian belakang beg diletakkan kanvas bagi menguatkan lagi struktur beg fail tersebut,” katanya kepada CitaRasa.
Akui teruja setelah mengetahui siapa pemilik rasmi beg failnya itu, Kai Hung tidak menyangka seorang Perdana Menteri sudi menggayakan hasil tangan pereka kerdil sepertinya semasa Belanjawan 2025 lalu.
Lebih unik, graduan Diploma Teknologi Rekaan Fesyen di Equator College, Pulau Pinang itu sebenarnya jarang menerima tempahan daripada pelanggan lelaki. Rata-rata pelanggannya ialah wanita yang berusia 30 tahun ke atas meskipun kebanyakan rekaannya boleh dikategorikan sebagai uniseks.
Gemar menerapkan penggunaan fabrik tradisi terutama batik dalam koleksinya, Kai Hung berkata, segalanya bermula daripada kegemaran neneknya berpakaian sarung batik.
“Semasa saya kecil selalu nampak nenek pakai sarung batik dan saya pun rasa bunga-bunga itu cantik, jadi bila saya pergi kedai beli kain, saya rasa macam guna batik untuk buat beg akan cantik juga.
“Kain songket pula saya baru saja mula gunakan tapi merasakan ia juga cantik dijadikan beg kerana saya sangat sukakan fabrik berkilat,” kata Kai Hung yang namanya sedang di kemuncak dan tempahan yang diterima semakin banyak.
Kai Hung berkata, dia membuat beberapa jenis beg tangan daripada batik.
“Kain batik saya biasanya guna untuk buat beberapa jenis handbag termasuk beg Blooming Flower Bucket,” katanya.
Beg Blooming Flower itu adalah antara beg terlarisnya.
Mengenai pemilihan corak batik yang sering digunakan untuk membuat beg, Kai Hung berkata, bukan semua corak kena dengan cita rasanya untuk membuat beg.
“Ada banyak design batik dijumpai di luar tetapi bukan semua batik sesuai dengan rekaan beg yang saya mahukan. Kadangkala bunga pada batik terlalu besar atau kecil selain ruang kosong pada kain terlalu besar atau warnanya tidak sesuai,” kata Kai Hung.
Kongsinya lagi, pelanggan menggemari rekaannya kerana memiliki padanan warna yang tidak konvensional dan jarang dijumpai.
Ditanya mengenai penggayaan beg batik, Kai Hung berkata, ada yang gemar memadankannya dengan pakai bercorak bunga.
“Bagaimanapun saya rasa bila beg batik dipakai bersama baju yang simple dan bebas corak, beg akan lebih stand out dan mampu menjadi statement piece,” katanya.