KUALA LANGAT – Makan, minum dan tidur dengan lalat.
Itu kesengsaraan lebih 500 penduduk Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat di sini, yang terpaksa berdepan serangan ribuan lalat setiap hari sejak tiga tahun lalu yang didakwa berpunca sebuah premis ternakan ayam berdekatan.
Penduduk, Nasarudin Ngodio, 45, berkata kediamannya paling teruk terjejas kerana hanya berada kurang 200 meter dari premis itu sehingga terpaksa membeli ratusan pelekat perangkap lalat setiap bulan dan memasang kelambu untuk tidur.
“Ribuan lalat itu ada tidak kira masa terutamanya ketika memasak. Ramai penduduk termasuk anak saya cirit-birit akibat keracunan makanan. Harap ada tindakan segera dan tegas pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui selepas membuat bantahan aman bersama 100 penduduk hari ini.
Bagi peniaga makanan, Suzila Sarengat, 51, sebe,um ini dia mampu meraih kira-kira RM100 sehari namun kini mengalami kerugian ketara kerana kedainya amat kurang dikunjungi pelanggan.
“Kini nak dapat RM50 pun sukar. Lebih sedih apabila ramai pengunjung hanya singgah dan terus pulang kerana lihat banyak lalat biarpun saya sudah pasang kertas perangkap lalat,” kata nenek kepada empat cucu itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung berkenaan, Saluah Mundagir berkata, serangan lalat makin menjadi-menjadi berikutan tambahan jumlah reban di premis tersebut.
“Sehingga kini terus berlaku sehingga menjejaskan lebih 100 buah keluarga dan kami mahu premis itu ditutup atau dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE