PETALING JAYA – Kejadian seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) kategori mental yang dibelasah orang ramai di sebuah pasar tani mendapat perhatian netizen.
Dalam kejadian yang berlaku di Kemaman, Terengganu itu, lelaki terbabit dikatakan dibelasah selepas terlanggar sebuah gerai menjual makanan di pasar tani tersebut.
Susulan kejadian itu, peniaga berkenaan turut dirakam meminta ganti rugi sebanyak RM10,000 ke atas lelaki terbabit kerana sudah merosakkan jualannya.
Tinjauan di media sosial mendapati, ramai pengguna mahu membantu lelaki terbabit membayar ganti rugi tersebut.
“Kesiannya kena pukul. Tolong siapa kenal pemilik mi goreng ini. Tolong hubungi saya, saya nak jelaskan kerugian encik ini,” kata Mohd Nazli.
“Jom kita kumpul duit bantu abang tu. Tak sampai hati tengok dia kena belasah begitu, bayangkan kalau ayah kita kena,” kata Anne.
“Tak logik ganti rugi RM10,000. Kalau marah sangat pun tak perlu pukul begitu,” kata Sham.
“Allah menghantar orang OKU untuk menguji kesabaran kamu, tapi sayang kesabaran kamu senipis bawang,” kata Rahim.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga lelaki termasuk seorang peniaga ditahan polis bagi membantu siasatan kes membelasah seorang lelaki OKU kategori mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai semalam.
Kesemua suspek berusia dalam lingkungan antara 18 hingga 60 tahun ditahan pada pukul 8 malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, mereka ditahan sewaktu memberi keterangan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman. – KOSMO! ONLINE