TANJUNG MALIM – Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bagi menambah baik sistem latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kerjasama dijalin itu juga bermatlamat mengukuhkan pelaksanaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam kalangan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 1/2025 dengan kerjasama Majlis TVET Negara.
Beliau berkata, menerusi lawatan JLKN ke UPSI kelmarin, perbincangan dilaksanakan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek pelaksanaan TVET yang relevan dengan pembangunan modul PLKN 3.0 termasuk taklimat, pameran dan lawatan ke bengkel teknikal yang terdapat di fakulti berkenaan.
“Langkah ini dilihat sebagai inisiatif penting dalam menyuntik elemen kemahiran teknikal dan vokasional dalam program khidmat negara yang bertujuan membentuk generasi muda yang lebih berkemahiran dan berdaya saing.
“Lawatan ini membuktikan kesungguhan semua pihak untuk memperkukuh modul latihan yang tidak hanya bersifat akademik tetapi turut memberi tumpuan kepada kemahiran teknikal yang amat diperlukan dalam era moden ini,” katanya di sini hari ini.
Md. Amin berkata, UPSI bersedia untuk menjadi rakan strategik dalam menjayakan modul PLKN 3.0 dengan menawarkan kepakaran, fasiliti, dan pengalaman terbaik dalam bidang TVET.
“Kami percaya bahawa kolaborasi ini mampu melahirkan belia yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai sektor,” tambahnya.
“Kerjasama ini juga memberi peluang kepada pelatih PLKN untuk merasai pengalaman pembelajaran yang lebih holistik, sekali gus mengintegrasikan elemen teknikal dan vokasional dengan nilai-nilai patriotisme yang menjadi asas utama PLKN.”
Tambah beliau, dengan sokongan JLKN dan Majlis TVET Negara, UPSI komited untuk menerajui usaha ini ke arah melahirkan generasi muda yang memiliki kemahiran pelbagai dan mampu menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks,” katanya.
Pengarah Operasi Latihan JLKN, Kolonel Mazlizan Shaikh Osman pula berkata, kerjasama dengan UPSI membuka peluang besar untuk pihaknya mempertingkatkan kualiti latihan PLKN 3.0.
“Fasiliti dan kepakaran yang ditawarkan UPSI sangat relevan dengan keperluan semasa dalam membentuk generasi muda yang lebih kompeten.
“Kami yakin melalui inisiatif ini, pelatih PLKN bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal mereka, tetapi juga membina jati diri yang kuat sebagai rakyat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE