fbpx

Tiga penjenayah ditembak mati di Rawang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di lokasi kejadian tengah hari tadi

RAWANG – Polis menembak mati tiga penjenayah yang dipercayai bergiat aktif dalam pelbagai kes samun dan curi kenderaan di Kota Emerald, di sini, pukul 12.30 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dinaiki tiga suspek di lokasi dan cuba menahan mereka.

Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan berbalas tembakan dan cuba melarikan diri menggunakan kenderaan yang disewa itu apabila menyedari telah dikepung pasukan polis.

“Kita percaya mereka dalam usaha melakukan jenayah dengan menggunakan kereta sewa yang telah ditukar nombor plat palsu.

“Pasukan telah kejar kereta suspek sejauh kira-kira 750 meter dari tempat diarahkan berhenti sebelum berbalas tembak dan mereka ditembak mati,” katanya ketika di lokasi hari ini.

Menurut beliau, dua suspek merupakan lelaki tempatan berusia 40 dan 43 tahun manakala seorang lagi belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri.

“Hasil semakan mendapati suspek, 40 tahun mempunyai 24 rekod jenayah (lima rekod dikehendaki), manakala suspek, 43,mempunyai 44 rekod (tujuh rekod dikehendaki bagi kes dadah, enam rekod dikehendaki bagi kes jenayah),” jelasnya.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menjejaki kumpulan sindiket itu sejak tahun lalu dan mereka dipercayai bergiat aktif sejak 2018.

“Kita kenal pasti modus operandi kumpulan itu adalah menggunakan kereta sewa seterusnya menukar nombor pendaftaran kepada nombor palsu bagi menjalankan kegiatan jenayah.

“Kita percaya mereka bergiat aktif dalam samun curi kenderaan khususnya pacuan empat roda (4×4) sebelum menjualnya di negara jiran.

“Tahun ini sahaja, sindiket ini sudah samun dan curi enam buah kenderaan,” ujarnya.

Pihaknya juga merampas pistol revolver, pistol semi automatik, dua alat menyahaktif penggera kenderaan, topeng muka, satu paket serbuk putih dadah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI