PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan badan tersebut menzalimi bakal haji melalui tawaran haji musim 2025M/1446H.
TH melalui satu kenyataan berkata, tuduhan di media sosial itu tidak benar sama sekali kerana TH telah menerima dan mengkategorikan semula lebih 700 golongan M40 seperti suri rumah, pelajar dan warga emas kepada golongan B40 setelah menerima rayuan berserta bukti mereka daripada golongan tersebut.
“Untuk makluman, sejak 2022 TH menyemak silang maklumat bakal haji dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan kategori bakal jemaah B40, M40 dan T20.
“Bakal jemaah yang menerima sumbangan program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah adalah termasuk dalam Kumpulan B40. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan individu melebihi RM15,000 sebulan termasuk dalam Kumpulan T20,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah TH, bakal jemaah yang tidak termasuk dalam kategori B40 dan T20 adalah dikategorikan sebagai M40, namun TH telah dan masih menerima permohonan rayuan menukar kategori tawaran.
“TH memandang serius tuduhan-tuduhan tidak benar yang memburukkan reputasinya dan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” tulis kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE