KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi wakil tunggal negara pada Kejohanan Badminton Terbuka India selepas meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi, New Delhi sebentar tadi, pasangan No.2 dunia itu menewaskan wakil tuan rumah, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy dengan keputusan straight set 21-18, 21-14.
Suasana stadium yang pada awalnya riuh menjadi sepi seketika apabila Sze Fei-Izzuddin mendahului set kedua dengan perbezaan mata agak jauh sebelum melengkapkan kemenangan bagi menempah slot ke pentas final.
“Pada perlawanan hari ini, kami hanya buat yang terbaik dan cuba tampilkan permainan sendiri. Saya pula cuba melakukan tugas dengan mencipta peluang untuk Izzuddin menyerang,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal untuk menamatkan badi separuh akhir di Terbuka India apabila tewas 20-22, 19-21 kepada Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Sebagai rekod, ini merupakan penampilan ketiga berturut-turut bekas juara dunia itu di separuh akhir Terbuka India dengan pencapaian terbaik mereka muncul naib juara pada edisi 2023.
Terdahulu, tiga lagi wakil negara turut gagal meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir, termasuk beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah serta dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Menjelang perlawanan akhir esok, Sze Fei-Izzuddin akan beraksi menentang Won Ho-Seung Jae dengan kedua-dua beregu tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE