KUALA LUMPUR – Kejutan terbesar berlaku pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka India hari ini selepas beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi, New Delhi sebentar tadi, pilihan ketiga kejohanan itu menerima tamparan hebat apabila tewas dalam aksi straight set 17-21, 15-21.
Kemenangan wakil Eropah itu sememangnya di luar jangkaan memandangkan mereka turun dengan status sebagai pemain bukan pilihan pada kejohanan Jelajah Dunia Super 750 berkenaan.
“Pemain lawan memang berikan kami tekanan sepanjang perlawanan hari ini sehingga menyebabkan kami banyak melakukan pukulan-pukulan tinggi,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia.
Aksi ditampilkan Tang Jie-Ee Wei dilihat cukup berbeza jika dibandingkan ketika mereka menewaskan juara Terbuka Malaysia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran di suku akhir semalam.
Sementara itu, turut tersingkir di separuh akhir hari ini adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang tewas 21-18, 19-21, 9-21 kepada gandingan No.2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Justeru, aksi final yang akan berlangsung esok bakal menemukan Gicquel-Delrue dan Zhen Bang-Ya Xin dengan kedua-dua beregu itu tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE