KAJANG – Dituduh mandul, penyanyi Datin Alyah menegaskan tidak mempunyai masalah kesuburan apabila pernah hamil namun keguguran pada tahun keenam perkahwinannya dengan maestro muzik, Datuk Ramli MS.
Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 44, berkata berikutan keadaannya yang berdepan gastrik kronik, dua tahun kemudian dia menyimpan lima telur sebagai persediaan untuk menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF).
“Saya tidak mandul seperti didakwa segelintir individu kerana pernah keguguran pada 2019. Selepas itu saya menyimpan lima telur iaitu tiga lelaki dan dua perempuan yang sepatutnya disenyawakan pada 2023.
“Prosedur mengambil telur dilakukan pada 2021 tetapi ketika itu kita semua diuji dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan doktor menasihatkan saya tangguhkan IVF sehingga situasi kembali pulih.
“Cuma gastrik dan gerd saya alami terlalu teruk dan saya fikir apabila jalani bariatrik disebabkan berat badan cecah 72 kilogram akan mudahkan kehamilan tetapi apa yang manusia ciptakan ini tidak sehebat ciptaan Allah, ada kesannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada prebiu bufet Ramadan Park Inn by Radisson Putrajaya, semalam.
Begitupun katanya, kekurangan nutrisi memberi risiko kecacatan terhadap bayi yang membuatkan doktor menyarankannya membatalkan prosedur IVF.
Mengakui sedih selepas usaha mendapatkan zuriat terhenti berikutan faktor kesihatan diri selain sudah membelanjakan kos hampir mencecah RM100,000, Alyah bagaimanapun akur atas nasihat suaminya.
“Sakit yang saya alami sudah pulih namun nutrisi dalam badan saya kurang sebab saya makan sikit. Kalau mahu juga hamil boleh mendatangkan risiko kepada bayi nanti.
“Selain mengikuti saranan doktor, suami menasihatkan saya agar melupakan hasrat meneruskan prosedur IVF kerana bimbang kesihatan saya.
“Tok Ram (Ramli) bimbang kerana proses IVF itu sangat menyakitkan dan bawa risiko terhadap bayi akibat penyakit saya. Walaupun sedih, saya akur.
“Bukan mudah membatalkan prosedur tersebut kerana kos yang kami keluarkan juga besar tetapi, saya percaya Allah itu Maha Hebat, kita manusia hanya mampu merancang,” ujarnya.
Penyanyi Sesal Separuh Nyawa itu juga tidak menyangka doa ketika mengerjakan umrah pada 2023 dimakbulkan Allah apabila dua hari kemudian menerima khabar kehadiran seorang bayi perempuan daripada kalangan keluarga rapatnya.
“Selepas itu, saya memang tak fikir dah soal anak. Saya doa pada Allah apa yang terbaik saya terima. Tidak lama kemudian saya dapat panggilan telefon daripada ahli keluarga terdekat yang mahu menyerahkan seorang bayi.
“Mungkin ini berkat doa ketika saya menunaikan umrah sebelum itu hingga akhirnya saya dan Tok Ram menjaga anak angkat kami, Nur Izzara yang kini mencecah usia sembilan bulan,” katanya.
Rumah tangga Alyah dan Ramli sudah memasuki 11 tahun tanpa dikurniakan cahaya mata, namun pengarah muzik itu mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu. – KOSMO! ONLINE