KUALA LUMPUR – Pelumba-pelumba berbasikal trek negara terus mempamerkan bisa pada Kejohanan Siri 2 Piala Presiden yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan hari ini.
Muhammad Ridwan Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri mempamerkan kayuhan berbisa apabila masing-masing meraih pingat emas dalam acara pecut individu lelaki dan wanita manakala Nurul Alyssa Farid melakukan catatan masa di bawah 11 saat (s).
Ridwan menyuarakan rasa gembira atas kemenangan itu, lebih-lebih lagi dia sekadar meraih gangsa dalam acara tersebut pada Siri 1 yang berlangsung Selasa lalu.
“Pada separuh akhir keirin (Siri 1), saya ada buat kesilapan hingga gagal melangkah ke final, jadi pingat emas acara pecut ini berjaya mengubati kekecewaan itu.
“Saya rasa agak gugup pada aksi final bertemu Fadhil (Zonis) kerana kami tahu kelebihan dan kekurangan masing-masing. Satu perlumbaan yang sengit tetapi saya berjaya memenanginya,” kata Ridwan.
Pada saingan hari ini, Ridwan berjaya mengetepikan cabaran pelumba Korea Selatan, Kang Seo Jun di separuh akhir sebelum memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas menewaskan Fadhil di pentas final.
Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik atlet Australia, Sam Gallagher yang menewaskan Seo Jun dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Dalam kategori wanita, Izzah terus memahat nama sebagai antara pelumba terbaik pada kejohanan itu selepas menang 2-0 ke atas Kim Ha Eun dari Korea.
“Walaupun masih letih selepas beraksi pada Siri 1 tetapi saya masih mampu menunjukkan peningkatan dan menang 2-0, jadi saya sangat gembira,” ujar Izzah.
Pingat gangsa pula menjadi milik seorang lagi pelumba Korea, Cho Sun Young yang menewaskan Alyssa 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga. – KOSMO! ONLINE