CAMERON HIGHLANDS – Remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di sini pada 28 Disember lalu ditemui dan selamat kembali ke pangkuan keluarga pada kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, remaja berkenaan, Tan Joon Tien, ditemui seorang lelaki di Kedah sebelum menghantarnya ke sebuah balai polis berdekatan.
“Lelaki itu menyedari mangsa remaja yang dilaporkan hilang selepas terbaca maklumat kehilangan terbabit di laman sosial Facebook.
“Lelaki tersebut kemudiannya memaklumkan mengenai penemuan remaja berkenaan kepada keluarga sebelum dihantar ke sebuah balai polis untuk tindakan lanjut dan remaja berkenaan kini berada bersama keluarganya di Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.
Polis sebelum ini meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan remaja lelaki itu yang dilaporkan hilang dari sebuah asrama yang dihuninya di Brinchang pada 28 Disember lalu.
Difahamkan remaja itu mengikuti kumpulan keagamaan di kawasan terbabit dan kali terakhir dia dilihat di sebuah rumah di Persiaran Oriental Lily 4, Taman Oriental, Tringkap, Cameron Highlands. – KOSMO! ONLINE