PASUKAN Sabah FC tekad untuk memburu bekalan selesa dalam usaha menamatkan penantian 22 tahun untuk melangkah ke pentas final Piala Malaysia menjelang aksi separuh akhir pertama bertemu Sri Pahang malam ini.
Jurulatih The Rhinos, Martin Stano mengakui kelebihan beraksi di laman sendiri bakal menjadi azimat buat pasukan bagi memastikan misi untuk meletakkan sebelah kaki ke perlawanan akhir menjadi realiti.
“Selepas kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super minggu lalu, misi kita sekarang adalah untuk kembali berada di landasan kemenangan pada perlawanan bertemu Sri Pahang.
“Sudah tentu kita bukan sahaja mahu melakar kemenangan, sebaliknya perlu berusaha untuk menjaringkan sebanyak mungkin gol ketika menentang lawan sebagai bekalan untuk aksi timbal balik nanti.
“Saya menuntut komitmen penuh daripada barisan pemain bagi memastikan misi untuk ke pentas final semakin cerah.
“Dalam masa sama, saya tidak mahu pasukan terlalu memandang rendah dengan keupayaan pasukan lawan dan kekal fokus sehingga wisel penamat nanti,” katanya.
Mengulas mengenai tahap kecergasan anak-anak buahnya, Stano percaya siapa sahaja yang diturunkan dapat beri sepenuh jiwa selepas beberapa tonggak masih cedera selepas aksi bertemu JDT sebelum ini.
“Saya rasa isu kecergasan bukanlah masalah besar kerana kita masih ada masa untuk menurunkan kesebelasan terbaik pada hari perlawanan nanti,” katanya.
Kali terakhir Sabah ke pentas final Piala Malaysia adalah pada 2003 sebelum tewas kepada kelab Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ FC) dengan keputusan 0-3.