DI sebalik senyuman riang yang sentiasa terukir di wajah, rupa-rupanya ada luka tersimpan di dada penyanyi berwajah seksi Mimi Fly ini. Pernah meletup ketika bersama One Nation Emcees sejak 2008, sebelum kisah peribadi lebih menjadi tumpuan, tahun demi tahun kemudian dia tiba-tiba hilang dari radar seni.
Kata Mimi, dia punya sebab kenapa menghilang, semuanya dek dirundung kecewa, rasa putus asa dalam bidang muzik mendorongnya angkat kaki dari pentas hiburan.
“Empat tahun saya tidak berkarya sebab putus asa. Saya tiba-tiba seperti tiada ilham untuk menulis lagu. Saya cuba tetapi gagal. Akhirnya saya putus asa dan ‘move on’ dengan kehidupan baharu dengan mengajar yoga dan menari. Saya juga ada ‘podcast’ sendiri.
“Selama empat tahun saya lupakan muzik sehinggalah tiba hari lahir pada 2023. Saya tanya pada diri sendiri apa satu perkara yang saya akan menyesal kalau tak buat. Saya pejam mata dan saya nampak diri di atas pentas, nampak saya tengah rakam lagu dalam studio. Terus saya menangis.
“Jujurnya saya pernah menoktahkan kerjaya muzik, tak mahu lagi kembali ke masa lalu yang teramat menyakitkan. Saya pernah kena bomoh dan berdepan pendengki. Rasa tak boleh diterima. Pernah terpaksa berpura-pura jadi orang lain, saya penat nak puaskan hati orang dalam industri.
“Jadi, bila ternampak bayangan diri kembali menyanyi, saya tertanya-tanya kenapa harus balik lagi ke sana? Saya dah tinggalkan masa lalu dan sudah punya kehidupan baharu,” kongsinya.
Jauh di sudut hati, dia tidak mahu menanggung sesal kemudian hari, lantas Mimi gagahkan diri kembali menulis lagu.
“Januari 2024 saya mulakan misi hasilkan karya baharu. Saya tidak mahu muzik saya kedengaran seperti melodi lama. Saya mahu semuanya baharu dan berbeza. Ibarat Mimi dilahirkan semula.
“Kali ini saya mahukan karya yang berkualiti. Saya tidak mahu buat lagu ikut ‘trend’. Saya mahu buat apa yang saya suka. Saya pernah jumpa dengan orang yang buat lagu ‘trending’ tetapi saya tak berkenan. ‘It’s not me, it’s not my sound’. Sebab itulah saya keluar duit sendiri dan buat segalanya ‘from scratch’. Bukan saya tak cari orang yang nak bekerjasama, tetapi pelbagai alasan diberikan. Saya terlalu tua dan macam-macam lagi.
“Mereka tak boleh terima muzik yang saya mahukan mungkin kerana terlampau lain. Ramai yang tidak yakin dengan saya. Jadi saya terpaksa lakukan sendiri dengan bantuan kawan-kawan dan keluarga,” ujarnya.
Ironinya, lagu Angkat juga seolah-olah menjadi faktor kebangkitannya daripada kekecewaan. Dia mahu ‘angkat kaki’ meninggalkan segala lara hati.
Sewaktu hadir ke sesi penggambaran ini penulis turut bertanyakan tentang pendek rambutnya. Lantas Mimi menjawab: “Saya patah hati putus cinta.”
“Biasalah perempuan. Kalau putus cinta sahaja mesti nak potong rambut,” katanya sambil ketawa.
Kecewa patah hati itu wajar namun tidak harus berlama-lama. Dia mahu melangkah ke depan dan serius menghasilkan karya berkualiti peminat.
Bertanyakan Mimi, adakah sudah menutup pintu hati buat insan bergelar lelaki, jawabnya:
“Saya tidak pernah serik dalam cinta. Cuma fokus sekarang untuk kerjaya yang seperti dilahirkan semula. Saya perlu bekerja lebih keras,” ujarnya.
Nikmat Angkat ‘kaki’
Asbab itu juga namanya kembali menjadi sebutan. Hidupnya tiba-tiba mewah pujian.
“Angkat menjangkau apa yang difikirkan. Dalam masa kurang dua minggu, lagu berkenaan berjaya mendapat tontonan sebanyak satu juta dalam YouTube. Angkat turut viral di Indonesia. Sungguh luar biasa penangannya,” kata Mimi.
Menyaksikan lagu Angkat sedang hangat diputarkan, Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 38, seperti baru merasai erti sebenar ‘diangkat’ sebagai artis.
“Apa yang saya sedang kecapi sekarang saya tidak pernah kecapi sebelum ini. Angkat adalah lagu pertama saya yang ditulis penuh dalam bahasa Melayu sejak bergerak solo. Sebelum ini lagu-lagu saya menggunakan bahasa campuran Melayu-Inggeris.
“Penangan Angkat lain macam. Saya tulis lirik lagu ini hanya dalam masa setengah jam.Ini curahan isi hati tentang apa yang berlaku dalam hidup. Sebuah karya yang jujur dan lahir dari hati.
Sewaktu menyiapkan lagu ini, dapat rasa satu aura yang berbeza. Sama seperti ketika hasilkan Anak Kampung dahulu,” ceritanya penuh semangat.
Ditanya tentang lagu dangdut Angkat Kaki nyanyian Sheeda yang dijadikan asas lagu berkenaan, Mimi ada kisah zaman kanak-kanak yang merantai emosi.
“Sewaktu usia sembilan tahun, saya selalu menyanyi lagu Angkat Kaki dalam bilik air sambil menari. Itu lagu dangdut paling saya suka. Saya ada mesej Sheeda dalam Instagram beritahu lagu itu sumber inspirasi saya. Saya kongsikan tentang lagu Angkat dengannya. Tetapi dia tidak balas. Mungkin dia tidak baca. Tetapi menerusi penyanyi Haiza, Sheeda berterima kasih kepada saya kerana hasilkan lagu Angkat,” kongsinya.
Selain lagu, video muzik Angkat turut mendapat pujian dek visual berkualiti serta koreografi unik menyelitkan bahasa isyarat.
Bercerita lanjut mengenai video muzik arahan Hafiz Rashid itu, demi memastikan lagu kemunculan semulanya dalam arena muzik tanah air ini menjadi ‘boom’ Mimi melabur puluhan ribu ringgit demi menghasilkan karya berkualiti.
“Biarpun saya keluarkan modal puluhan ribu tetapi jumlah itu masih tidak setanding dengan harga video muzik artis-artis lain. Tetapi saya cuma hanya bajet sebanyak itu.
“Saya bertuah kerana dipertemukan dengan pengarah dan penerbit yang sangat hebat iaitu Hafiz dan Faizul. Mereka adalah pembikin filem dan merupakan pemenang anugerah sinematografi terbaik peringkat Asia,” jelasnya.
“Kisah mengenai bahasa isyarat ini sangat menarik. Ketika makan bersana pelajar yoga, saya lihat mereka mula menggunakan bahasa isyarat, tiba-tiba saya meremang satu badan.
“Saya melihat keunikan bahasa isyarat itu sebagai satu bentuk seni. Tak dapat berhenti daripada berfikir tentang bahasa isyarat itu. Kemudian saya hubungi cikgu mereka dan minta diajarkan bahasa isyarat dalam lirik lagu Angkat. Dan, the rest is history,” tutupnya.