fbpx

Perintah lanjutan IPO 60 anak-anak GISBH dipohon minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN kanak-anak GISBH yang diselamatkan dalam Op Global sebelum ini.

KUALA SELANGOR – Kira-kira 60 anak-anak pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) masih berada dalam perlindungan hak jagaan sementara (IPO) di Selangor.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, ekoran itu perintah lanjutan IPO akan dipohon semula pada minggu depan di tiga buah mahkamah kanak-kanak di Ampang, Petaling Jaya dan Shah Alam.

Katanya, setakat ini seramai 300 kanak-kanak di Selangor sudah dikembalikan ke pangkuan ibu bapa masing-masing sejak 20 November tahun lalu.

“Sebelum ini, terdapat lagi lebih 120 anak-anak GISBH dan daripada jumlah itu 51 telah dikembalikan dan sembilan diteruskan hak penjagaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas melalui prosiding mahkamah pada 15 Januari lalu.

“Baki 60 lagi kanak-kanak yang IPO akan tamat hujung bulan ini akan dipohon di mahkamah minggu depan untuk tindakan selanjutnya,” katanya selepas merasmikan cawangan BS FreshMart dan menyampaikan sumbangan bakul rahmah hari ini.

Menurut beliau, antara yang diambil kira semasa pemulangan adalah penilaian tahap pendidikan dan kesihatan mental anak-anak itu.

“Mereka (anak-anak GISBH) ada yang menghadapi trauma. JKM memulangkan secara bersyarat iaitu mereka ada bon atau beberapa perkara akan dinilai dan dipantau secara berkala yang mana itu akan memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara.

“Dari segi indoktrinasi, itu di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan memastikannya. Tetapi kita dimaklumkan MKN membuka peluang untuk program seperti taubat secara sukarela bagi melalui proses pemulihan dan dipantau dari masa ke semasa,” ujarnya.

Anfal menegaskan, pada hemat kerajaan negeri adalah menjaga kebajikan anak-anak itu dan tidak mahu berulang kembali dengan dianggap ajaran yang telah difatwa sesat ini adalah kitaran ketiga ( daripada Al-Arqam).

Justeru, kata beliau, kanak-kanak yang telah kembali ke pangkuan ibu bapa mereka dinasihatkan untuk mengikuti aliran pendidikan perdana di bawah Kementerian Pendidikan.

“Kebanyakan kes anak-anak itu tidak mengikuti sebarang pendidikan formal dengan mereka mengatakan melalui program tahfiz dan sebagainya namun tiada rekod,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI