KEMAMAN – Pergerakan Pemuda UMNO menawarkan khidmat guaman secara percuma bagi membantu lelaki orang kelainan upaya (OKU) kategori mental yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai di sini semalam.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan memukul, mengheret dan menyepak mangsa disifatkan sebagai perbuatan tidak berperikemanuasiaan.
“Apa yang menyedihkan hati saya, mangsa diperlakukan seperti binatang. Dia disepak muka dan diheret tanpa rasa perikemanusiaan. Kalau dia bukan pesakit mental pun kenapa hendak pukul dia beramai-ramai. Kalau anak jantan, bukan begitu caranya,” katanya menerusi video yang di muat naik di akaun Facebooknya.
Muhamad Akmal berkata, Exco Pemuda UMNO bersama Peguam Pemuda UMNO telah diarahkan mencari keluarga lelaki berkenaan dalam masa terdekat dan tawaran khidmat guaman percuma itu bagi memastikan individu yang menganiaya mangsa menerima tindakan undang-undang setimpal. – KOSMO! ONLINE