BAGAN SERAI – Seorang nelayan yang disyaki mencuri kerang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 3.7 kilometer barat daya Pulau Sangga Besar, Kuala Kurau di sini hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Syuhadha Sharip berkata, tangkapan terhadap lelaki yang menaiki vesel nelayan tempatan jenis pukat hanyut itu dilakukan rentetan aduan orang awam berkenaan kes curi kerang di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warganegara Malaysia sedang melakukan kerja-kerja menangguk kerang dan didapati kegiatan berkenaan dilakukan tanpa lesen dan beroperasi di luar waktu yang dibenarkan,” katanya di sini hari ini.
Syuhadha berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur kerang) 2002 iaitu lesen mengambil kerang tamat tempoh dan beroperasi di luar waktu yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE