SINGAPURA – Mesin layan diri menjual durian Musang King akan disediakan di sebuah stesen kereta api di Singapura mulai 20 Januari ini, lapor portal berita VNExpress kelmarin.
Mesin layan diri itu milik syarikat Kaki Kaki Durian. Ia akan ditempatkan di Stesen Transit Laju Massa (MRT) Tampines.
Mesin itu menjual isi durian seberat 400 gram pada harga SGD38 (RM125), manakala diskaun 50 peratus ditawarkan hingga pertengahan bulan depan, demikian menurut akhbar The Straits Times.
Durian itu adalah daripada varieti Musang King yang diperoleh terus daripada petani Malaysia.
Pada tahun lalu, mesin layan diri itu ditempatkan di tiga bangunan pangsapuri.
“Mesin layan diri membolehkan kami menyelaraskan operasi sambil memastikan setiap durian dikendalikan dengan berhati-hati, tepat dan konsisten, kata pengasas bersama Kaki Kaki Durian, C.Y. Wong. – AGENSI