SUBANG – Polis mengesahkan empat individu yang maut ketika menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, di sini, 31 Disember lalu, mempunyai kandungan dadah di dalam darah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ia berdasarkan analisis toksikologi daripada Jabatan Kimia yang diperoleh minggu lalu.
“Laporan telah diterima dari Jabatan Kimia, darah kesemua si mati mengandungi kandungan dadah dan telah dirujuk ke pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan laporan penuh.
“Kita telah merakam keterangan seramai 52 orang saksi terdiri daripada rakan-rakan mereka yang maut dan petugas konsert berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, seorang lagi mangsa lelaki berusia 30 tahun di PPUM masih belum diambil keterangan dan polis menunggu kebenaran dari pihak hospital.
“Mangsa yang berada di PPUM dalam keadaan belum stabil.
“Individu yang telah dibenarkan keluar dari PPUM, sudah diambil keterangan dan mangsa juga mempunyai kandungan dadah di dalam darah,” jelasnya.
Tambahnya, kes masih dalam siasatan dan laporan penuh autopsi masih belum diperolehi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan siasatan awal polis mendapati empat mangsa yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu disyaki mengambil dadah jenis ekstasi. – KOSMO! ONLINE.