TREND makanan jalanan semakin berkembang pesat di Malaysia, mencerminkan kepelbagaian budaya dan kreativiti masyarakat tempatan.
Gerai-gerai kecil di tepi jalan kini sering menjadi ruang mesra di mana pelanggan serta penjual bertukar senyuman dan cerita, manakala keberanian penjual untuk bereksperimen dengan rasa dan tekstur menjadikan makanan jalanan sebagai wadah inovasi kulinari yang segar.
Antara yang semakin menonjol ialah trend untuk menggabungkan makanan antarabangsa dengan sentuhan tempatan, yang tidak hanya menambah variasi, malah memperlihatkan bagaimana makanan jalanan di negara ini mampu menyesuaikan diri dengan pengaruh luar tanpa kehilangan identiti asalnya yang tersendiri.
Hanis Sofiyya Sahiful Bahari antara yang tampil dengan inovasi baharu makanan jalanan menerusi Hotteok Tanah Merah, yang diinspirasikan daripada makanan tradisional Korea dan diolah supaya bersesuaian dengan cita rasa tempatan.
Memberikan rasa yang unik dan rangup di luar, ia digabungkan pilihan inti ayam, daging atau kacang merah berserta keju yang berjaya mewujudkan satu fenomena baharu di Tanah Merah, dengan 1,000 keping mampu terjual dalam tempoh sehari.
Anak muda kelahiran Pasir Mas ini berkata, Hotteok Tanah Merah tidak sekadar menarik perhatian kerana keunikan rasanya, tetapi juga disebabkan pembaharuan yang diperkenalkan dengan inti savoury seperti ayam dan daging, selain inti original kacang merah.
“Antara penawaran unik makanan ini yang menyebabkan pelanggan sentiasa kembali ialah rasa intinya yang sesuai dengan selera warga tempatan, selain saiznya yang besar dan boleh dinikmati sehingga dua orang.
“Selain itu, hotteok kami dinikmati bersama pilihan sos jalapeno atau bawang putih, sos jalapeno kami terutamanya sering disebut-sebut pelanggan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Bertapak di Bandar Baru Tanah Merah sejak hujung tahun 2022, Hotteok Tanah Merah telah berkembang daripada sekadar memacak khemah di kaki lima kepada menggunakan stall berbumbung yang jauh lebih selesa.
Pada masa sama, Hanis Sofiyya dan pasukannya sentiasa melakukan inovasi baharu termasuk dengan memperkenalkan produk bermusim yang sentiasa menimbulkan keterujaan buat para peminatnya.
Antara inti untuk tempoh masa terhad yang pernah diperkenalkan termasuk tuna dan beef carbonara.
Menjelang ketibaan Ramadan, Hotteok Tanah Merah turut memiliki produk sejuk beku yang banyak memudahkan pelanggan, terutamanya untuk dijadikan menu sewaktu bersahur.
“Bersempena dengan ulang tahun ke-365 hari kami beroperasi, pada 24 dan 25 Januari ini, kami menawarkan promosi istimewa yang mana dengan setiap pembelian empat keping hotteok, kami akan memberikan satu cheese coin secara percuma.
“Cheese coin ini ialah sejenis pencuci mulut yang kini popular di Jepun dan Korea, ia seakan roti dengan inti keju dan berbentuk wang syiling gergasi.
“Kami memang sentiasa mengadakan promosi secara berkala terutamanya menerusi pemberian produk inovasi makanan baharu secara percuma. Ia sememangnya merupakan sesuatu yang sering ditunggu-tunggu pelanggan setia kami,” jelasnya.
Tambah beliau, Hotteok Tanah Merah kini dijual pada harga RM15 untuk variasi biasa, manakala hotteok special berharga RM18.
Gerai Hotteok Tanah Merah dibuka setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam. – KOSMO! ONLINE