JAKARTA – Perbuatan seorang murid sekolah menengah yang tidur di hadapan kelas ketika gurunya mengajar mengundang perhatian pengguna media sosial, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @veri2gd memaparkan murid lelaki itu tidur di lantai bersebelahan dengan meja guru.
Guru tersebut bagaimanapun terus mengajar, seolah-olah tidak mempedulikan perbuatannya.
Difahamkan, murid itu tertidur akibat penat bekerja.
“Tidak mengapa. Biarkan dia (murid berkenaan) rehat,” kata guru itu dalam rakaman video tersebut.
Klip video menjadi tular dan rata-rata, netizen memuji kebaikan dan empati daripada guru tersebut.
“Guru dari syurga!” kata seorang netizen. – AGENSI